Sunday 26 July 2020

HAJI ITU ARAFAH


"HAJI ITU ARAFAH"
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi 10 ribu umat Islam yang dibenarkan mengerjakan haji untuk berwukuf di Arafah.
Berwukuf di Arafah bermaksud berada di bumi Arafah walau seketika bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah, (masuk waktu Zohor) dan tamatnya ialah sebelum terbit fajar (Masuk waktu Subuh) 10 Zulhijjah.
Pekerjaan wukuf adalah rukun haji.
Sama ada seseorang itu sihat atau tidak, dia wajib menghadirkan dirinya di Arafah dalam sebarang keadaan sekalipun.
Jika seseorang gagal melakukannya atau tidak sempat menghadirkan diri di Arafah walaupun sesaat, sama ada sengaja atau tidak, maka hajinya tidak sah dan dikenakan dam tertib dan taqdir, serta dikehendaki melakukan tawaf tahallul,untuk mengeluarkan dirinya daripada ihram.
Dia juga wajib mengqadak hajinya yang tidak sah tersebut.
Berwukuf di Arafah tidak sama seperti bermabit di Muzdalifah pada separuh malam 10 Zulhijjah atau bermabit di Mina pada malam malam hari Tasyrik.
Kedua ibadah ini adalah wajib Haji, bukan rukun.
Sebagai contoh, jika seseorang yang sakit dan sukar baginya untuk bermabit di Muzdalifah atau bermabit di Mina, maka dia dikecualikan daripada bermabit.
Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam.
Jika seseorang sengaja tidak mahu bermabit di Muzdalifah atau tidak mahu bermabit di Mina pada hari hari Tasyrik, tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan syar’ei, hajinya tetap sah, namun dia berdosa dan dikenakan dam tertib dan taqdir.
Dam yang dikenakan bukan untuk menebus dosa, sebaliknya ia adalah tanda ketaatan menjunjung perintah Tuhan.
Adapun dosa kerana tidak bermabit, seseorang itu wajib bertaubat dan mohon keampunan daripada Allah SWT, di atas sikapnya yang 'engkar' dan 'degil' melanggar perintah Tuhan.
Ust Hisham AL Haj
PEKTA TH
Hari Arafah
Hari Arafah adalah antara hari-hari yang paling afdal di sisi Allah SWT. Daripada Jabir bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”
Berwukuf di Padang Arafah adalah kemuncak Ibadah Haji dan ia merupakan Rukun Haji yang utama kerana ianya membezakan Haji dan Umrah. Pada Umrah, tiada Wukuf di Arafah. Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah wukuf di Arafah.”
Hari Arafah juga adalah hari Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakannya, daripada api neraka. Keesokannya adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam bagi menzahirkan kegembiraan serta kesyukuran ke hadrat Ilahi.

No comments:

Post a Comment