Tuesday 28 July 2020

KELEBIHAN PUASA SUNAT HARI ARAFAH


PUASA HARI ARAFAH
Peluang diampun dosa
Puasa hari Arafah ialah puasa pada 9 Zulhijjah dan tahun ini jatuh pada (30 Julai 2020)esok, bagi mereka yang tidak melakukan ibadat haji,disunatkan untuk berpuasa.
Puasa Arafah termasuk dalam puasa awal bulan Zulhijjah. Untungnya mereka yang berpuasa Hari Arafah kerana ganjarannya cukup besar.
Marilah kita sama-sama mengerjakan ibadah puasa sunat ini yang hanya boleh dilakukan setahun sekali sahaja. Ganjaran utama yang bakal kita perolehi dengan melakukan puasa Arafah adalah dosa-dosa kita pada tahun lepas dan tahun depan akan diampunkan oleh Allah S.W.T. Rugi jika tidak dilakukan.

Sunday 26 July 2020

HAJI ITU ARAFAH


"HAJI ITU ARAFAH"
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi 10 ribu umat Islam yang dibenarkan mengerjakan haji untuk berwukuf di Arafah.
Berwukuf di Arafah bermaksud berada di bumi Arafah walau seketika bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah, (masuk waktu Zohor) dan tamatnya ialah sebelum terbit fajar (Masuk waktu Subuh) 10 Zulhijjah.
Pekerjaan wukuf adalah rukun haji.
Sama ada seseorang itu sihat atau tidak, dia wajib menghadirkan dirinya di Arafah dalam sebarang keadaan sekalipun.
Jika seseorang gagal melakukannya atau tidak sempat menghadirkan diri di Arafah walaupun sesaat, sama ada sengaja atau tidak, maka hajinya tidak sah dan dikenakan dam tertib dan taqdir, serta dikehendaki melakukan tawaf tahallul,untuk mengeluarkan dirinya daripada ihram.
Dia juga wajib mengqadak hajinya yang tidak sah tersebut.
Berwukuf di Arafah tidak sama seperti bermabit di Muzdalifah pada separuh malam 10 Zulhijjah atau bermabit di Mina pada malam malam hari Tasyrik.
Kedua ibadah ini adalah wajib Haji, bukan rukun.
Sebagai contoh, jika seseorang yang sakit dan sukar baginya untuk bermabit di Muzdalifah atau bermabit di Mina, maka dia dikecualikan daripada bermabit.
Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam.
Jika seseorang sengaja tidak mahu bermabit di Muzdalifah atau tidak mahu bermabit di Mina pada hari hari Tasyrik, tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan syar’ei, hajinya tetap sah, namun dia berdosa dan dikenakan dam tertib dan taqdir.
Dam yang dikenakan bukan untuk menebus dosa, sebaliknya ia adalah tanda ketaatan menjunjung perintah Tuhan.
Adapun dosa kerana tidak bermabit, seseorang itu wajib bertaubat dan mohon keampunan daripada Allah SWT, di atas sikapnya yang 'engkar' dan 'degil' melanggar perintah Tuhan.
Ust Hisham AL Haj
PEKTA TH
Hari Arafah
Hari Arafah adalah antara hari-hari yang paling afdal di sisi Allah SWT. Daripada Jabir bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”
Berwukuf di Padang Arafah adalah kemuncak Ibadah Haji dan ia merupakan Rukun Haji yang utama kerana ianya membezakan Haji dan Umrah. Pada Umrah, tiada Wukuf di Arafah. Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah wukuf di Arafah.”
Hari Arafah juga adalah hari Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakannya, daripada api neraka. Keesokannya adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam bagi menzahirkan kegembiraan serta kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Wednesday 22 July 2020

#KALAMGURU - BANDING MEMBANDING


Islam memandang mulia persaingan dalam mengerjakan kebaikan demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Persaingan ini boleh menjadi pendorong kepada manusia untuk beribadah kepada Allah SWT dan melakukan kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” (surah al-Baqarah 2:148)

Para ulama’ mengesyorkan, apabila kita melihat orang lain yang berharta, kita harus membandingkan diri kita dengan orang yang kurang berharta supaya lahir rasa syukur dalam hati. Sebaliknya, dalam persaingan melakukan amal soleh agar timbul keingingan untuk melakukan lebih baik daripada orang itu. Orang yang memiliki martabat yang lebih tinggi dalam amal kebajikan harus dijadikan mentor dan idola supaya kita bersemangat untuk menjadi sepertinya.

Persaingan yang mulia ini menjadi pendorong kepada kita untuk kuat mempertingkatkan kualiti dan kuantiti ibadah kepada Allah SWT, seterusnya memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia serta mahkluk Allah SWT yang lain.

Tuesday 21 July 2020

NASI ARAB VIRAL JOHOR BAHRU







Skrol punya skrol punya skrol.....xtau nak makan apa hari ini....tiba2 ada nampak satu iklan tempat makan ni...
Nasi Arab Abu Ziyad..
Tengok makanan dia menyelerakan..
Menu Utama
Nasi Mandy Kambing RM20
Nasi Mandy Ayam RM14
Nasi Mandy Ikan RM18
Maqluba Kambing RM40
Maqluba Ayam RM28
Western
Chicken Chop RM15
Lamb Chop RM24
Shawarma RM8
Samosa RM10
Kalau nk set dulang pun ada juga..roger je nombor dibawah
X sempat nak keluar makan??...jangan bimbang team Abu Ziyad ad delivery jga tau...sekitar Johor Bahru dan kawasan berhampiran..Cas COD ikut kawasan..

Boleh Dine In,Take Away dan Delivery
.
Nak kami hantar blh tekan kat bawah :

ANTARA AMALAN 10 HARI AWAL ZULHIJJAH


Sunday 19 July 2020

#KALAMGURU - HASAD DENGKI


Assalammualaikum
Kalam Guru
"Bila membaca nikmat orang lain dengan HASAD, Akhirnya terlupa membaca nikmat sendiri dengan bahasa SYUKUR "
Melihat pencapaian orang lain,biar jadi inspirasi jangan iri.Kalau lapang hati,lapang pula rezeki.Jangan iri dan dengki dengan kejayaan dan pencapaian orang lain,kerana setiap orang yang menerima lebih akan diminta lebih juga dalam hidup ini. Kita tidak perlu iri tapi bersyukur dengan apa yang diberi ALLAH SWT saat ini.Kunci nikmat ini merasa memiliki dan menikmati dengan apa yang ada,bukan dipaksa atau memaksa untuk untuk mesti ada.
Semoga kita semua dalam perlindungan Allah SWT.amin

Thursday 16 July 2020

#KALAMGURU - PENJARA DUNIA





Assalammualaikum
Salam Jumaat
Kalam Guru
"Alangkah malang dan hinanya penghuni penjara dunia,kakinya tertambat bergerak ke rumah Allah,tangannya terikat tidak melakukan kebaikan,matanya tertutup dari melihat kebenaran dan hatinya terpaling dari jalan akhirat "
Semoga kita semua dalam perlindungan Allah SWT.amin

Friday 10 July 2020

SOAL JAWAB - KE ATAS SIAPAKAH WAJIB HAJI DAN UMRAH DIFARDUKAN


[𝐒𝐎𝐀𝐋 𝐉𝐀𝐖𝐀𝐁 𝐇𝐀𝐉𝐈 & 𝐔𝐌𝐑𝐀𝐇]

Soalan :
Ke atas siapakah haji dan umrah difardukan?

Jawapan :
Haji dan Umrah difardukan ke atas setiap orang Islam yang baligh,berakal,merdeka (bukan hamba),berkemampuan samada lelaki dan perempuan.

SYARAT WAJIB HAJI & UMRAH 

1) ISLAM
      - tidak wajib atas orang kafir dan murtad

2) BALIGH
      - tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah haji/umrahnya dan tidak gugur wajibnya bila baligh

3) BERAKAL
      - tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga,tidak sah hajinya

4) MERDEKA
      - Hamba abdi tidak diwajibkan,tetapi sah haji dan umrahnya dan diberi pahala

5) BERKUASA / BERKEMAMPUAN
      - Berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan ini ialah berdasarkan Firman Allah SWT yang           bermaksud

" Dan menjadi kewajipan bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan di antara mereka " (Surah Al Imran ayat 97)

Dalam masalah berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakan haji dan umrah ini adalah berkuasa  kepada dua bahagian :-

a) Berkuasa atau berkemampuan dengan sendiri dan
     i) Berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain untuk melakukan pekerjaan haji dan umrah dari awal hingga akhir
    ii) Mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang dibawah tanggungannya.
   iii) Ada kenderaan pergi dan balik
   iv) Aman dalam perjalanan, yakni tidak ada marabahaya yang mengancam keselamatan diri dan harta termasuklah juga tidak ada penyakit yang membahayakan tubuh badan.
    v) Sihat tubuh badan
      vi) Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;-
“Dari Anas r.a katanya : Rasulullah SAW ditanya “Apakah yang dimaksudkan dengan “sabil”? lalu Rasulullah SAW menjawab “Bekalan dan perjalanan”
Riwayat – Daruqutni

b) Berkuasa dengan bantuan orang lain
     i) Orang yang mempunyai cukup syarat wajib haji,tetapi tidak dapat mengerjakan haji sendiri kerana keuzuran dan sakit yang tidak ada harapan akan sembuh,atau telah terlalu tua umurnya serta telah putus asa tidak dapat pergi sendiri menunaikan hajinya.

    ii) Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hidupnya,tetapi tidak dapat mengerjakan haji,maka terhutanglah fardu haji atasnya sehingga warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menunaikan hutang hajinya itu dengan upah atau secara sukarela.






Thursday 9 July 2020

SOAL JAWAB - APAKAH PERBEZAAN HAJI DAN UMRAH


Soalan
Apakah yang dimaksudkan dengan haji dan umrah dan apakah perbezaan di antara dua perkara tersebut?
Jawapan
Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud  mengunjungi Baitullah (Ka'bah) pada masa-masa tertentu (bulan haji, Zulhijah) serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 17 / 23)
Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat.
Antara dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah tentang kewajipan mengerjakan ibadah haji adalah seperti firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
 (Surah Ali-Imran: 97)
Istito’ah (berkemampuan) yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Rujuk Al-Muhalla, Ibn Hazm 7/54 dan Subul al-Salam, Al-Son’aani 2/180)
Imam Ibnu Kathir Rahimahullah berkata:" Adapun istato'ah (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain" (Rujuk Tafsir al-Quran  al-Azim, 1/364)
Allah SWT berfirman:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ
               Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji”
(Surah al-Hajj: 27)
Firman Allah SWT:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ
Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.”
(Surah al-Baqarah: 197)
Manakala pengertian umrah pula adalah seperti berikut:
Umrah pada bahasa ialah ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan saie di antara safa dan marwah dengan ihram. (Rujuk Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 30/314)
Sebagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya.
Firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Inilah pendapat yang  sahih dari mazhab Imam Al-Syafie, namun sebahagian ulama seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah yang mengatakan bahawa ibadah umrah itu hukumnya sunat mu'akkad pada umrah yang pertama. (Rujuk al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, 30/ 315).
Dapat kami ringkaskan di sini perbezaan di antara ibadah haji dan umrah adalah seperti berikut:
  1. Haji hanya dikerjakan pada bulan haji sahaja, iaitu bermula 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Manakala waktu umrah pula adalah pada bila-bila masa sepanjang tahun
  2. Haji adalah wajib bagi setiap individu, manakala umrah pula adalah sunat dilakukan jika berkemampuan (mengikut sebahagian pendapat).
  3. Haji memerlukan wukuf di Arafah pada hari 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina serta melontar jamrah manakala umrah tiada wukuf serta perkara-perkara yang disebutkan tadi.
  4. Rukun haji ada enam iaitu niat,wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie,tahallul dan tertib, manakala umrah hanya lima iaitu niat, tawaf, sa’i,tahallul dan tertib

Wednesday 8 July 2020

PERJALANAN HAJI

MEMAHAMI PERJALANAN HAJI (Grafik)
Kredit : Utusan Online



PERKARA MAKRUH KETIKA BERKORBAN
Antara perkara yang makruh ketika berqurban adalah
seperti yang berikut:
(a) Melakukan korban ke atas haiwan yang carik
telinganya atau terpotong sedikit di belakang
telinganya.
(b) Memotong bulu haiwan yang hendak dikorbankan bagi
tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudaratkannya.
(c) Melakukan korban ke atas haiwan yang pecah atau
patah tanduknya, atau tiada bertanduk.
(d) Memerah susu haiwan yang hendak dijadikan qurban
dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut.
(e) Memotong kuku dan bercukur bagi orang yang
berniat korban.
(f) Melakukan sembelihan korban pada waktu malam.

PERKARA SUNAT KETIKA BERQURBAN



PERKARA SUNAT KETIKA BERQURBAN

Antara perkara sunat ketika berqurban adalah seperti yang
berikut:

(a) Menambat ternakan qurban menjelang Hari Nahar.

(b) Memberi makanan kepada haiwan qurban sebelum
disembelih.

(c) Memastikan haiwan tersebut tidak makan makanan
yang syubhah seperti makan rumput di kawasan yang
bukan milik tuan haiwan qurban.

(d) Meletakkan tanda serta menutup tubuh haiwan qurban
supaya dapat merasakan kepentingan qurban.

(e) Melakukan penyembelihan qurban dengan sendiri.

(f) Membaca Bismillah ( ).

(g) Berselawat ke atas Nabi SAW.

(h) Penyembelih dan haiwan mengadap ke arah qiblat.

(i) Memilih haiwan ternakan yang paling baik.

(j) Menunggu haiwan yang disembelih itu sehingga
sejuk dan semua anggotanya tidak bergerak lagi atau
benar-benar mati dan baharulah dilapah.

(k) Orang yang melakukan qurban disunatkan tidak
bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba
bulan Zulhijjah sehingga dia telah selesai berqurban.

Monday 6 July 2020

SOAL JAWAB - PERBEZAAN HAJI QIRAN,TAMATTU DAN QIRAN


[𝐒𝐎𝐀𝐋 𝐉𝐀𝐖𝐀𝐁 𝐇𝐀𝐉𝐈 & 𝐔𝐌𝐑𝐀𝐇]

Apakah perbezaan antara Haji Ifrad, Haji Tamattu' dan Haji Qiran?

Haji Ifrad dilaksanakan dengan memasuki daerah Miqat, dan berniat untuk melaksanakan haji sahaja, dan berada dalam keadaan ihram sehingga selesai semua ibadah haji. Perlaksanaan ibadah haji ini diriwayatkan dari Saiyidatina Aishah r.a., para Khulafa Rasyidin, dan selanjutnya diikuti oleh para sahabat Rasulullah s.a.w.

Haji Tamattu' dilaksanakan dengan berniat umrah ketika telah masuknya bulan-bulan musim haji. Setelah selesai ibadah umrah dan tahallul, ia bebas dari larangan ihram. Kemudian, masuknya hari tarwiyah, ia berniat untuk melaksanakan ibadah haji. Diwajibkan ke atasnya untuk menyembelih binatang korban.

Haji Qiran dilaksanakan dengan berniat haji dan umrah serentak dan perlaksanaan ibadah haji dan umrah dengan satu kali ihram. Seperti Haji Tamattu', jemaah diwajibkan menyembelih binatang korban.

Rasulullah s.a.w. memberi kebebasan memilih kepada umatnya sebagaimana yang telah disampaikan dalam hadith diriwayatkan dari Aisyah r.a.:

"Suatu ketika kami telah pergi bersama Rasulullah s.a.w. kemudian baginda bersabda: Sesiapa di antara kamu yang ingin melaksanakan haji dan juga umrah maka lakukanlah. Dan sesiapa yang berniat hanya untuk melaksanakan haji, maka berniatlah, serta sesiapa yang ingin hanya melakukan umrah, maka niatkanlah." (Hadith Sahih Muslim)

Para ulama berbeza pendapat tentang manakah yang lebih afdhal dikerjakan. Namun, ketiga-tiga cara melaksanakan haji adalah sah. Perbezaan tatacara haji memberikan umat Islam ruang dan peluang untuk menunaikan haji mengikut keadaan diri mereka, contohnya bagi yang kurang berkemampuan untuk menyembelih binatang korban, maka mereka boleh menunaikan haji cara Ifrad.

BINATANG YANG BOLEH DISEMBELIH

Info dan Fakta Tentang Ibadah Korban Yang Semua Orang Wajib Tahu | Bermula 10 Zulhijah hingga 13 Zulhijah adalah hari kemenangan umat Islam dalam melaksanakan ibadah korban.

Korban, semua orang tahu tapi sejauh mana kita hayati maksudnya.

Bab ibadah korban ni walaupun sunat tapi sangat dituntut dalam Islam. Kalau tak pernah buat, buatlah sekali seumur hidup.

Jom belajar dan ulang kaji serba sedikit ilmu pasal ibadah korban.



KELEBIHAN IBADAH KORBAN



4 kelebihan ibadah Korban menurut hadis Nabi Muhammad SAW
1. Amalan yang paling dicintai Allah
-Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat al-Tirmizi (1493)]
2. Setiap helaian bulu diberikan pahala
-Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya maksudnya :“Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya”.
3. Mendapat keampunan
-Imran bin Hushain radhiallahu ‘anhushallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Sayyidatuna Fatimah radhiallahu ‘anha: meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang Maksudnya: “Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu.”(Hadis riwayat al-Hakim)
4. Binatang kurban menjadi tunggangan di akhirat
-Sabda Nabi Muhammad SAW (maksudnya): “Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu di titian pada Hari Qiamat”.

Thursday 2 July 2020

SEJARAH KAABAH DITUTUP


Antara peristiwa yang pernah berlaku dan mengakibatkan Ka'abah ditutup.
Untuk pengetahuan, ini merupakan kali ke-40 kawasan Kaabah ditutup sepanjang sejarah
Bila Allah berkehendak, tiada satu pun mampu menghalang. Kun fa ya kun.
Kongsikan sekiranya bermanfaat

MENGAPA SISTEM SUARA MASJIDIL HARAM BERFUNGSI DENGAN BAIK






MENGAPA SISTEM SUARA MASJID AL HARAM BERFUNGSI DENGAN BAIK:
• 3 sistem bunyi dikendalikan di Masjid al Haram.
• Satu adalah yang utama dan dua yang lain sebagai sandaran.
• Mikrofon kanan Imam adalah yang utama, yang tengah adalah sandaran pertama dan yang kiri dari ketiga adalah sandaran kedua.
• Sekiranya sistem suara utama gagal, sandaran pertama akan menyala secara automatik. Dan jika itu juga gagal maka sandaran kedua dihidupkan, memberikan kadar kegagalan Masjid al Haram 0%.
• Kira-kira 50 kakitangan berada di belakang kawalan bunyi.
• Lebih daripada 6,000 pembesar suara ditempatkan di seluruh Masjid al Haram, halaman dan jalan serta jalan sekitarnya, menjadikannya salah satu sistem bunyi terbesar di dunia.
• Setiap Imam dan Muazzin memiliki pengaturan suara yang ditetapkan sesuai dengan suara dan nada mereka, memastikan kejelasan dan keseimbangan di sekitar Masjidil Haram.

SOAL JAWAB - AMALAN TERBAIK SEBAGAI GANTI HAJI YANG TERTANGGUH



[𝐒𝐎𝐀𝐋 𝐉𝐀𝐖𝐀𝐁 𝐇𝐀𝐉𝐈 & 𝐔𝐌𝐑𝐀𝐇]
Saya adalah jemaah haji yang sepatutnya terbang pada musim haji 2020 ini, tapi ditangguhkan sebab wabak covid19,apakah amalan terbaik yang boleh dilakukan sebagai gantian ibadah berkenaan?
- '' peruntukkan sebahagian dari wang yang tentunya telah dipersiapkan untuk ke Tanah Suci itu bagi tujuan melaksanakan ibadah Qurban pada tahun ini ''.
CADANGAN KEPADA CALON TETAMU ALLAH ( HAJI ) YANG TERTANGGUH
Diriwayatkan oleh Ummul Mu’minin A’isyah RadhiyALLAHu 'anha, bahawa Nabi SollALLAHu 'alaihi wa alihi wa Sallam bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh ALLAH selain daripada menumpahkan darah (menyembelih binatang korban).
Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada (redha) ALLAH sebelum ia jatuh ke bumi. Maka bersihkanlah jiwa kamu dengannya (berkorban).”
- Riwayat at-Tirmidzi (1493)
Kepada tuan / puan, saudara-saudaraku yang telah terpilih untuk melaksanakan ibadah Haji pada tahun ini tetapi ditangguhkan atas sebab yang sama-sama kita maklum ;
Sebagai pernyataan kepada sentiasa ingat dan tetap bersyukur kepada ALLAH, sentiasa bersedia untuk beribadah menjunjung perintah dan memperhambakan diri kepadaNYA ;
Hamba cadangkan agar diperuntukkan sebahagian dari wang yang tentunya telah dipersiapkan untuk ke Tanah Suci itu bagi tujuan melaksanakan ibadah Qurban pada tahun ini.
Semoga diterima sebagai amalan yang ALLAH redhai sehingga dengan izinNYA dipermudahkan dan disempurnakan hajat untuk ibadah Haji pula ditahun hadapan.
- Sama-sama kita berdoa agar wabak COVID-19 terhenti dan lenyap supaya jemaah haji dapat meneruskan ibadat seperti biasa untuk tahun-tahun yang berikutnya.
Kredit : Ust Abu Habeeb Omar
Share & Like untuk manfaat bersama

SOAL JAWAB - TANGGUH HAJI?



[𝐒𝐎𝐀𝐋 𝐉𝐀𝐖𝐀𝐁 𝐇𝐀𝐉𝐈 & 𝐔𝐌𝐑𝐀𝐇]
Apakah hukum jika tidak menunaikan haji kerana bimbang ancaman wabak?

- "Tidak wajib pergi dan tidak jatuh berdosa jika tangguh menunaikan haji di musim wabak."

- Sama-sama kita berdoa agar wabak COVID-19 terhenti dan lenyap supaya jemaah haji dapat meneruskan ibadat seperti biasa untuk tahun-tahun yang berikutnya.

Share & Like untuk manfaat bersama