Wednesday 3 June 2020

INFO UMRAH - TIANG UTAMA RAUDHAH



Tiang – tiang bersejarah di Masjid Nabawi

Mengikut hadith dalam kitab sahih Bukhari, para sahabat r.a amat gemar bersolat berdekatan dengan tiang-tiang ini. Ada lapan tiang yang secara khususnya mempunyai sejarah dan dikenali  


Berikut ini adalah nama-nama tiang (usthuwaanah) yang berada di dalam Raudhah Masjid Nabawi

الأسطوانة الوفود.1 Tiang Utusan
 Kebiasaannya para utusan datang untuk berjumpa Rasulullah s.a.w mereka akan duduk disini. Baginda akan datang ke tempat ini untuk bercakap mengenai hukum-hakam.

الأسطوانة المحرس.2 Tiang Pengawal
 Terletak di sebelah utara tiang katil, juga dikenali dengan nama tiang Ali bin Abi Talib r.a kerana beliau selalu bersolat dan duduk di bahagiannya yang bersambung dengan rumah Rasulullah s.a.w untuk menjaga Baginda Rasulullah s.a.w.

الأسطوانة السرير.3 Tiang Katil
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w juga pernah beriktikaf di sini. Sebahagian Ulama berkata bahawa semasa beriktikaf, pada waktu malam Baginda akan berehat di sini. Sebab itulah nama ini diberikan, makna asal Sarir adalah katil. Sesuatu yang diperbuat daripada pelepah tamar telah diletakkan berdekatan tiang tersebut sebagai tempat rehat Baginda s.a.w.

الأسطوانة التوبة.4 Tiang Taubat/Abu Lubabah
Terkenal juga sebagai اسطوانة اأبي لبابة tiang ke empat dari Mimbar, yang kedua dari makam Rasulullah s.a.w dan yang ketiga dari kedudukan kiblat.

Dalam misi mengepung penempatan Yahudi Bani Quraizhah yang khianat dalam perang Khandaq, Abu Lubabah telah melakukan kesilapan. Ceritanya bermula apabila Rasulullah SAW telah membuat keputusan menghukum bunuh terhadap golongan lelaki yang memerangi mereka, sementara yang lain diusir keluar. Tetapi keputusan ini dirahsiakan dari pengetahuan Bani Quraizhah kerana mereka masih belum menyerah kalah.Setelah kepungan berlarutan, Bani Quraizhah meminta Rasulullah melantik Abu Lubabah menjadi perunding bagi pihak Islam, dan mengutuskannya berjumpa mereka. Ini kerana Abu Lubabah sebelum ini memiliki hubungan perjanjian dengan mereka.
Abu Lubabah pergi berjumpa mereka. Mereka bertanya pendapat Abu Lubabah
“Adakah kamu bersetuju kami menyerah mengikut perintah Muhammad wahai Abu Lubabah?”

“Ya.” Jawab Abu Lubabah. Dalam waktu yang sama, beliau mengisyaratkan dengan tangan di lehernya, dengan maksud bahawa Rasulullah telah perintahkan bunuh terhadap mereka.

Saat itu juga Abu Lubabah tersedar, beliau telah membocorkan rahsia Rasulullah. Beliau terus diselubungi rasa bersalah, dan menganggap dirinya sebagai pengkhianat.

Beliau merasakan dirinya sudah dimurkai Allah. Pada waktu itu kepalanya hanya memikirkan bagaimana mahu melepaskan diri dari kemurkaan itu.

Beliau tidak pulang bertemu Rasulullah, sebaliknya menuju ke rumah dan mendapatkan rantai besi dan terus menuju ke masjid nabawi. Kemudian beliau meminta dirinya diikat di salah satu tiang masjid dalam keadaan berdiri.

Selesai diikat, Abu Lubabah bersumpah:
“Demi Allah aku tidak akan lepaskan diri, tak akan makan dan minum sehinggalah Allah menerima taubatku, ataupun aku mati.”

Tatkala Rasulullah melihat Abu Lubabah, baginda bersabda:
“Sekiranya dia datang berjumpa denganku dahulu, nescaya akan aku ampunkan beliau. Tapi dia memilih cara ini. Aku tidak boleh melepaskannya sehingga Allah sendiri yang melepaskannya.”

Abu Lubabah terus diikat sedemikian berhari-hari lamanya, sehingga tubuhnya menjadi lemah, layu, pandangan mulai kabur, dan pendengaran semakin kurang.

Anak-anaknya tidak putus menziarahi dan menangisi keadaan Abu Lubabah. Namun beliau hanya meminta dibebaskan untuk bersolat, kemudian kembali diikat. Sesiapa yang melihat keadaan Abu Lubabah pasti akan bersedih, tetapi beliau tetap dengan pendirian tersebut.

Enam hari berlalu, Abu Lubabah masih dalam keadaan demikian. Hinggalah pada lewat malam ke tujuh, isteri Nabi, Ummu Salamah mendengar baginda tertawa kegembiraan usai qiamullail.

Ummu Salamah bertanya:
“Kenapa tuhan membuatkan gigimu tertawa wahai Rasulullah?”

Jawab baginda:
“Allah sudah mengampunkan Abu Lubabah..”

Ummu Salamah terus meminta izin menyampaikan khabar gembira itu kepada Abu Lubabah. Baginda mengizinkan dan sepantas kilat Ummu Salamah pergi ke masjid dan berkata:
“Wahai Abu Lubabah. Bergembiralah sekarang. Allah telah menerima taubatmu.”

Mendengar kata-kata Ummu Salamah, para sahabat yang ada ketika itu pantas menerpa ke arah Abu Lubabah untuk melepaskannya. Namun Abu Lubabah berkata:

“Jangan! Demi Allah. Biar Rasulullah sendiri yang membukanya nanti.”

Tiba waktu solat, Rasulullah pun keluar. Maka baginda melepaskan ikatan Abu Lubabah dengan tangan mulia baginda sendiri.

Tiada siapa dapat menggambarkan tahap kegembiraan Abu Lubabah apabila Allah sendiri yang menurunkan wahyu mengampunkannya. Sejak hari itu, setiap kali membaca ayat yang diturunkan mengenainya itu, beliau akan menangis kegembiraan:

“Dan ada yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang buruk. Sungguh Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[At-Tawbah:102]

Tiang itu menjadi saksi taubat seorang hamba. Sejak hari itu, tiang tersebut digelar sebagai tiang Abu Lubabah, ataupun tiang taubah. Siapa ke Masjid Nabawi, akan melihat sebuah tiang di satu sudut terukir nama Abu Lubabah dan taubatnya.


اَلأُسْطُوَانَة عائشة.5 Tiang Saidatina Aisyah
 Dikenali juga sebagai الأسطوانة المهاجرين kerana kebiasaannya golongan Muhajirin mengadakan majlis mereka disitu. Pada mulanya di sinilah tempat Rasulullah s.a.w bersolat, kemudian baginda memilih tempat yang diceritakan diatas. Tiang ini adalah yang ketiga dari mimbar, ketiga dari makam Rasulullah s.a.w
Dalam sebuah hadith riwayat Saidatina Aishah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda “Ada satu tempat dalam masjid ini jika manusia tahu hal keadaannya, maka undian terpaksa dibuat kerana masing-masing akan berebut untuknya.” Orang ramai telah bertanya kepada Saidatina Aishah r.a “Tempat yang mana satu?” Pada mula beliau enggan memberitahu, akhirnya beliau memberitahu. Sebab itulah ia dipanggil Ustuwanah ‘Aishah kerana dengan petunjuk dan hadith daripada beliau tempat ini menjadi pilihan.

اَلأُسْطُوَانَة المُخَلَّقَةُ .6 Tiang Wangi/Muqallaqah                       
Inilah tempat yang Rasulullah s.a.w selalu bersolat. Ianya juga dikenali dengan nama أسْطُوَنَة حَنَّاَنة. Tempat berlakunya peristiwa batang tamar sewaktu Rasulullah s.a.w berpindah menyampaikan khutbah di atas mimbar. Para sahabat selalu menyapu minyak wangi di tempat itu sebagai tanda tempat solat Rasulullah s.a.w. oleh sebab itulah wujudnya nama Tiang Wangi.
Mihrab Tahajud                                                                   
Tiang ini terletak dibelakang rumah saidatina Fatimah r.a di sebelah utarra. Kini, berada di dalam makam. Apabila kita berdiri di depannya, pintu Jibril berada disebelah kiri.

الأسطوانة مربعة القب Tiang Empat persegi kubur
Juga dikenali sebagai tiang Jibril. Para Ulama menulis bahawa inilah tempat khusus yang didatangi Malaikat Jibril a.s, kini tiang ini tidak dapat dilihat dari luar kerana ia telah dimasukkan ke dalam binaan makam.Menurut ahli sejarah, tiang –tiang ini dibina di tempat yang asal semasa pembaharuan binannya.Sebenarnya tiada satu tempat pun di dalam masjid Nabawi yang tidak dipijak oleh tapak kaki Rasulullah s.a.w yang mulia dan juga tidak dijak para sahabat dalam solat mereka. Bukan hanya Masjid Nabawi bahkan tiada bahagian dalam kota Madinah yang tidak dipijak oleh insan-insan mulia seperti mereka. Oleh sebab itu, semua tempat di sana penuh keberkatan. Semoga Allah s.w.t memberi kita taufik untuk mengambil faedah daripada keberkatannya

No comments:

Post a Comment