Monday, 6 July 2020
SOAL JAWAB - PERBEZAAN HAJI QIRAN,TAMATTU DAN QIRAN
[𝐒𝐎𝐀𝐋 𝐉𝐀𝐖𝐀𝐁 𝐇𝐀𝐉𝐈 & 𝐔𝐌𝐑𝐀𝐇]
Apakah perbezaan antara Haji Ifrad, Haji Tamattu' dan Haji Qiran?
Haji Ifrad dilaksanakan dengan memasuki daerah Miqat, dan berniat untuk melaksanakan haji sahaja, dan berada dalam keadaan ihram sehingga selesai semua ibadah haji. Perlaksanaan ibadah haji ini diriwayatkan dari Saiyidatina Aishah r.a., para Khulafa Rasyidin, dan selanjutnya diikuti oleh para sahabat Rasulullah s.a.w.
Haji Tamattu' dilaksanakan dengan berniat umrah ketika telah masuknya bulan-bulan musim haji. Setelah selesai ibadah umrah dan tahallul, ia bebas dari larangan ihram. Kemudian, masuknya hari tarwiyah, ia berniat untuk melaksanakan ibadah haji. Diwajibkan ke atasnya untuk menyembelih binatang korban.
Haji Qiran dilaksanakan dengan berniat haji dan umrah serentak dan perlaksanaan ibadah haji dan umrah dengan satu kali ihram. Seperti Haji Tamattu', jemaah diwajibkan menyembelih binatang korban.
Rasulullah s.a.w. memberi kebebasan memilih kepada umatnya sebagaimana yang telah disampaikan dalam hadith diriwayatkan dari Aisyah r.a.:
"Suatu ketika kami telah pergi bersama Rasulullah s.a.w. kemudian baginda bersabda: Sesiapa di antara kamu yang ingin melaksanakan haji dan juga umrah maka lakukanlah. Dan sesiapa yang berniat hanya untuk melaksanakan haji, maka berniatlah, serta sesiapa yang ingin hanya melakukan umrah, maka niatkanlah." (Hadith Sahih Muslim)
Para ulama berbeza pendapat tentang manakah yang lebih afdhal dikerjakan. Namun, ketiga-tiga cara melaksanakan haji adalah sah. Perbezaan tatacara haji memberikan umat Islam ruang dan peluang untuk menunaikan haji mengikut keadaan diri mereka, contohnya bagi yang kurang berkemampuan untuk menyembelih binatang korban, maka mereka boleh menunaikan haji cara Ifrad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment