Tuesday, 30 June 2020

IMAM MASJIDILHARAM



Antara Imam di MasjidilHaram yang terkenal
Beruntungnya mereka
Bila rindu...hanya mendengar alunan bacaan mereka dari youtube dan sesi live FB...
Semoga kami berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci lagi.


Friday, 26 June 2020

PAKEJ DOMESTIK MALAYSIA

Abah dah umumkan dah...boleh kesana kesini..kesana..kesini
tttaaapiiiiii...cuma di dalam negara sahaja tau.
Kerajaan memutuskan untuk membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri dikenakan.
"Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir tiga bulan tidak ke mana-mana.
"Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup," katanya pada perutusan khas Perdana Menteri sebentar tadi.

Untuk tempahan pakej domestik Mumtaz Travel,boleh berurusan dengan Pn Shazila

MALAYSIA,macam-macam ada

Nak HOTEL,KERETA SEWA,BAS PERSIARAN,TIKET PENERBANGAN dll

Tempahan ;
Tekan je link kat bawah👇

Wednesday, 24 June 2020

SAIDINA ABU BAKAR AS -SIDDIQ




SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Nama asal :
Abdullah ibni Abi Quhafah At-Tamimy

Keturunan :
Bani Ta’im

Dilahirkan :
Pada 572M (2 tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW) dan dilahirkan di Mekah.

Lelaki dewasa pertama yang memeluk Islam

Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali dan jurai salasilahnya adalah termasuk dalam Bani Taim iaitu sub keturunan dari Arab Quraisy. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain.

Dilantik menjadi Khalifah :
Selain itu, Abu Bakar al-Siddiq juga menjadi khalifah pertama umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW iatu bermula dari tahun 632 Masihi sehingga 634 Masihi. Ketika sedang sakit tenat, Baginda Nabi Muhammad SAW mengarahkan agar Saidina Abu Bakar mengimamkan solat untuk umat Islam.

Selepas kewafatan Baginda, sebuah majlis syura diadakan untuk melantik seorang khalifah dan pemimpin umat Islam. Dalam perbincangan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Pada awalnya, perlantikan itu mendapat tentangan daripada golongan yang inginkan Saidina Ali menjadi khalifah. Pertelingkahan itu selesai selepas Saidina Ali Abi Talib sendiri yang membaiahkan Saidina Abu Bakar, selain Saidina Umar al-Khatab dan para sahabat lain turut membaiah beliau.

Meninggal dunia :
Saidina Abu Bakar meninggal dunia pada 23 Jamadilakhir pada tahun ke-13 Hijrah (634M) di Madinah ketika masih memegang jawatan khalifah. Ada dua pendapat mengenai kematiannya, ada yang mengatakan beliau diracun oleh pihak musuh yang dengki. Ada juga pandangan yang mengatakan Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia secara biasa selepas 15 hari mengalami sakit.

Gelaran "As-Siddiq"
Saiyidina Abu Bakar digelar "As-Siddiq" kerana beliau sering membenarkan apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Contoh peribadi Abu Bakar ini adalah sewaktu Nabi s.a.w. melakukan Israk Mikraj. Apabila diceritakan, kebanyakan manusia tidak mempercayai kata-kata Nabi s.a.w., walhal sebelum itu mereka telah beriman dan membenarkan baginda. Beberapa orang dari mereka pergi menemui Abu Bakar.

"Adakah kamu mempercayai apa yang diceritakan oleh Nabi s.a.w.? Dia mengakui bahawa dia telah melakukan israk dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa semalam!" tanya mereka.

"Adakah dia mengatakan perkara itu?" Abu Bakar pula bertanya.

"Ya," jawab mereka.

"Kalau begitu, pasti dia jujur," jawab Abu Bakar tegas.

"Adakah kamu percaya yang semalam dia telah pergi ke Baitul Maqdis kemudian balik ke Mekah sebelum Subuh?" Mereka bertanya lagi.

"Ya!" Jawab Abu Bakar. "Saya pasti mempercayainya, malah dalam jarak lebih jauh dari itu juga saya tetap mempercayainya. Saya percaya pada khabar langit yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. setiap pagi dan petang!"

Sejak itu, Abu Bakar diberi gelaran As-Siddiq.

Fizikal Abu Bakar as-Siddiq
Saiyiditina Aisyah r.a. menggambarkan ayahandanya sebagai seorang lelaki yang berkulit putih, berbadan kurus, dadanya tidak terlalu lebar, belakangnya tidak bongkok, tulang pinggangnya kecil sehingga tidak dapat menahan kain yang dipakainya, wajahnya kurus, kedua matanya cengkung, dahinya lebar dan urat-urat tangannya nampak jelas.

Keluarga Abu Bakar

Isteri-isteri Abu Bakar
·                     Abu Bakar telah menikahi Qatilah binti Abdul Uzza dan mendapat dua orang anak iaitu Abdullah dan Asma'. Tidak ada dalil yang mengatakan Qatilah memeluk agama Islam. Dalam satu riwayat, Qatilah pernah menghantar hadiah berisi keju dan minyak samin untuk anaknya Asma' yang berada di Madinah. Namun Asma' telah menolak hadiah ibunya, bahkan dia enggan memasukkannya ke dalam rumahnya. Asma' meminta nasihat Rasulullah s.a.w. tentang hal itu, dan baginda telah bersabda: "Sambunglah tali silaturrahim dengan ibumu!"
·                     Abu Bakar juga menikahi Ummu Ruman binti 'Amir, yang terus memeluk Islam dan mengikuti Abu Bakar berhijrah ke Madinah. Mereka dikurniakan dua orang anak, Aisyah r.a. dan Abdurrahman.
·                     Selepas memeluk Islam, Abu Bakar menikahi Asma binti Umais, setelah suaminya gugur di medan perang Mu'tah. Hasil perkahwinan tersebut mereka medapat anak lelaki yang dinamakan Muhammad bin Abu Bakar.
·                     Abu Bakar juga mengambil Habibah binti Karijah. Dia melahirkan Ummu Kalthum selepas Abu Bakar wafat.

Anak-anak Abu Bakar as-Siddiq
·                     Abdul Rahman bin Abu Bakar - Anak Abu Bakar yang paling tua. Dia memeluk Islam pada peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Dia termasuk dalam kalangan sahabat Nabi s.a.w. yang sangat terkenal dengan keberaniannya. Dia hampir terbunuh oleh Abu Hurairah dalam Perang Badar. Abdurrahman telah berjaya membunuh Mahkam bin Thufail, salah seorang panglima terbaik Musailimah Al-Kadzdzab dalam Perang Yamamah.
·                     Abdullah bin Abu Bakar - Dia memeluk Islam pada awal kenabian. Abdullah memiliki peranan penting dalam peristiwa hijrah, di mana dia memberi maklumat yang mengumpulkan berita dari Quraisy pada siang hari kemudian menyampaikan kepada Nabi s.a.w. dan Abu Bakar pada waktu malam di Gua Thur. Selepas pagi, dia kembali berada di kalangan kaum Quraisy. Dalam perang Thaif, Abdullah telah mengalami kecederaan akibat terkena anak panah lalu syahid. Abdullah meninggal dunia ketika ayahandanya menjadi Khalifah.
·                     Asma' binti Abu Bakar - Mendapat gelaran Dzatun Nithaqain (yang memiliki dua selendang) kerana dia telah memotong selendangnya menjadi dua bahagian untuk membungkus makanan untuk diberikan kepada ayahnya dan Nabi s.a.w. yang bersembunyi di Gua Thur. Dia dinikahi pemuda Quraisy bernama Zubair bin Awwam dan dikurniakan anak bernama Abdullah bin Zubair, anak sahabat pertama yang lahir di Madinah pada waktu pasca-peristiwa Hijrah. Cucu Abu Bakar ini pernah menjadi Khalifah umat Islam dalam waktu yang sangat pendek sebelum dibunuh dan disalib oleh Hajjaj bin Yusuf.
·                     Aisyah (Ummul Mukminin) binti Abu Bakar - Anak perempuan Abu Bakar as-Siddiq yang dibebaskan oleh ALLAH s.w.t. dari fitnah keji terus dari langit. Isteri yang sangat dikasihi oleh Nabi s.a.w. dan wanita yang paling banyak meriwayatkan hadis Nabi s.a.w. Mempunyai keutamaan yang tidak terbilang.
·                     Ummu Kalthum binti Abu Bakar - Tidak pernah melihat wajah ayahnya kerana dilahirkan setelah Abu Bakar wafat. Namun Abu Bakar sudah sedia maklum dengannya sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau telah memaklumkan kepada Aisyah tentang hal ini.
"Sesungguhnya mereka adalah dua orang saudara lelakimu dan dua orang saudara perempuanmu," kata Abu Bakar menjelang ajalnya.
"Anak perempuanmu adalah Asma' dan saya. Siapakah seorang lagi anak perempuan yang ayah maksudkan?"
"Dia adalah anak yang masih berada dalam perut Kharijah. Ayah mempunyai firasat yang bayi yang bakal dilahirkan adalah anak perempuan."
Ummu Kalthum dinikahi oleh Thalhah bin Ubaidillah yang gugur dalam Perang Jamal.

Peristiwa Ummu Jamil ingin Menyerang Nabi s.a.w.
Abu Bakar sedang duduk bersebelahan Nabi s.a.w., tiba-tiba datang Ummu Jamil isteri Abu Lahab dengan menggenggam seketul batu. Ummu Jamil memandang dengan tajam semua hadirin yang berada di situ sehingga ternampak Abu Bakar, namun dia tidak nampak Nabi s.a.w.

"Abu Bakar! Di manakah sahabatmu itu? Aku dengar dia telah menghinaku. Kalau aku menjumpainya, aku akan tutup mulutnya dengan batu ini. Kamu tahukah di mana dia berada?" tanya Ummu Jamil dengan nada marah, lalu membacakan syair yang mengejek Nabi s.a.w:

"Dia orang hina yang kami selalu tentang
Perintahnya akan selalu kami abaikan
Dan agamanya sangatlah kami benci!"

Kemudian Ummu Jamil pun beredar. Abu Bakar berasa agak takut lalu bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Ya Nabi ALLAH! Tidakkah kamu melihatnya dan dia juga melihatmu?"

"Dia tidak dapat melihatku. ALLAH telah menghalang pandangannya dariku," jawab Nabi s.a.w. dengan tenang.

Pernikahan Nabi s.a.w. dengan Saiditina Aisyah binti Abu Bakar

Pada suatu hari, Khaulah binti Hakim telah pergi ke rumah Abu Bakar dan berkata kepada isterinya.
"Wahai Ummu Ruman, kebaikan dan keberkatan apakah yang dilimpahkan oleh ALLAH kepada kamu semua, sehingga Rasulullah mengutusku supaya meminang anak perempuanmu Aisyah bagi pihaknya?"

Ummu Ruman berasa sangat gembira dan bersyukur lalu mengkhabarkan kepada suaminya Abu Bakar.

"Adakah anak aku ini boleh dan layak untuk Rasulullah? Bukankah dia anak perempuan dari saudaranya?" tanya Abu Bakar.

Sabda Nabi s.a.w: "Wahai Khaulah, khabarkan kepada Abu Bakar bahawa dirinya hanyalah saudaraku dalam Islam sahaja, dan anak perempuanmu layak untuk menikahiku!"

Selepas mendengar penjelasan Nabi s.a.w., Abu Bakar pun mengundang Khaulah dan Nabi s.a.w. ke rumahnya. Beliau pun menikahkan anaknya Aisyah dengan Nabi s.a.w. Ketika itu usia Aisyah masih enam tahun.

"Saya Masih Ingat, Rasulullah"
Pada satu hari Nabi s.a.w. bertanya kepada sahabat-sahabatnya.
"Siapakah di antara kamu yang ingat perkataan Qiss bin Saidah di Pasar Ukadz?"
Suasana menjadi hening. Tiada siapa pun yang menjawab soalan Nabi s.a.w.

 Tiba-tiba Abu Bakar bangun dan bersuara.
"Wahai Rasulullah! Saya masih ingat. Ketika itu saya berada di pasar tersebut. Qiss datang dengan menunggang kuda. Kemudian dia berhenti dan dengan suara yang lantang dia berkata..

'Wahai umat manusia, dengarlah dan fahamilah dengan saksama! Apabila telah difahami segeralah kamu manfaatkan! Sesungguhnya orang yang hidup akan mati. Orang yang sudah mati, masanya telah berlalu, setiap yang akan datang, segera akan tiba. Sesungguhnya di atas langit ada berita besar dan di bumi banyak peristiwa yang boleh menjadi pengajaran. Ranjang tidur yang terukir indah, atap yang tinggi menjulang, galaksi yang bergerak mengikut putarannya, lautan yang tiada pernah mengering, malam yang gelap gelita dan langit yang memiliki banyak galaksi bintang!'
Qiss bersumpah bahawa ALLAH memiliki agama yang lebih dia cintai dari agama yang kamu semua anuti ini. 'Mengapa saya masih melihat orang pergi, kemudian tidak kembali? Adakah kerana mereka gembira dengan sebuah tempat sehingga mereka menetap di sana? Atau kerana  tertinggal, kemudian dia tertidur lena di sana?'
Seterusnya Qiss melantun bait-bait syairnya:

'Dua generasi pertama yang telah
pergi kita boleh mengambil pengajaran dari mereka
Ketika aku saksikan arus kematian mendekati
Tiada cara untuk menghalaunya kembali
Aku saksikan seluruh kaumku menghadapinya
Baik pembesar atau orang biasa, satu persatu
Kini aku menjadi yakin, bahawa tiada cara bagiku
Untuk menghindar dari suratan takdir
seperti yang menimpa semua bangsaku.'

Abu Bakar Menyelamatkan Bilal
Bilal bin Rabah merupakan seorang yang berhati suci dan sangat sempurna keislamannya. Beliau merupakan anak kepada Hamamah. Pada suatu hari yang sangat panas, Bilal telah diheret keluar oleh Umayah bin Khalaf ke hamparan pasir yang panas di kota Mekah. Umayah kemudian menelentangkan Bilal dan menghempap tulung rusuk Bilal dengan batu besar.

Umayah bertindak sedemikian selepas mengetahui Bilal memeluk Islam. Dia berasa sangat marah dan mengugut untuk terus menyiksa Bilal hingga mati sekiranya Bilal tidak mahu berpaling dari ajaran Muhammad s.a.w.
Bilal sedikit pun tidak menghiraukan ugutan Umayah, sebaliknya menghadapi seksaan tersebut dengan terus-menerus melafazkan ucapan yang mengharukan: "Ahad.. Ahad.. Ahad.."

Waraqah bin Naufal telah melalui kawasan Bilal diseksa dan menyaksikan kejadian tersebut. Beliau berkata kepada Umayah dan konco-konconya: "Demi ALLAH, sekiranya kamu bunuh dia dengan cara sebegini, saya akan menjadikannya sebagai orang yang paling saya sayangi!"

Tidak lama kemudian Abu Bakar As-Siddiq juga melalui kawasan tersebut. Dia melihat Bilal diseksa dengan cara yang sangat keji, lalu menghampiri Umayah yang kejam itu.

"Tidak takutkah kamu pada ALLAH akan apa yang kamu lakukan pada orang miskin ini?  Sampai bila kamu akan menyiksanya begini?" Tanya Abu Bakar kepada Umayah.
"Kamu yang merosakkannya. Selamatkan dia kalau kamu mahu!" sahut Umayah.
"Baik.. saya akan lakukan. Saya memiliki hamba yang lebih kuat dan lebih hitam darinya. Saya akan menyerahkannya kepada kamu sebagai ganti," kata Abu Bakar.
Umayah bersetuju dengan tawaran Abu Bakar. Abu Bakar menyerahkan hambanya sebagai ganti untuk membebaskan Bilal. Setelah memiliki Bilal, Abu Bakar memerdekakannya.

Abu Bakar Menyelamatkan Hamba Perempuan Bani Mu'mal
Umar Al-Khattab (ketika ini masih musyrik) mempunyai seorang hamba perempuan yang selalu diseksa supaya meninggalkan agama Islam. Umar telah memukul wanita itu terus-menerus sehingga berasa bosan.

"Aku meminta maaf padamu kerana tidak henti-henti memukulmu sehingga bosan," kata Umar.

"Begitu pula yang ALLAH lakukan kepadamu," jawab wanita tersebut.
Selepas kejadian itu, Abu Bakar telah membeli hamba sahaya Umar yang kemudiannya dimerdekakan. 

Sumber:
150 Kisah Teladan Abu Bakar As-Siddiq r.a. - Sahabat Karib Rasulullah s. a. w. oleh Ahmad Abdul Aal Al-Tahtawi (Al Hidayah Publication 2010)


Friday, 19 June 2020

DAKWAH RASULULLAH KE TAIF



Kisah Sedih - Dakwah Rasulullah Saw Ke Taif

Usaha dakwah Rasulullah saw mengajak penduduk Mekah kepada aqidah dan ajaran Islam sudah maksima. Boleh dikatakan semua penduduk Mekah sudah di dekati dan diberi peluang mendengar seruan Baginda. Rasulullah saw dan para sahabat mendekati mereka dengan membacakan Al-Quran, berhujjah atau diperlihatkan mukjizat - bukti kebenaran Baginda saw sebagai seorang Rasul.

Seterusnya Rasulullah Saw mengalihkan tumpuan dakwahnya kepada kabilah-kabilah dari luar Mekah. Rasulullah berharap akan memperolehi penyokong-penyokong perjuangan dari luar Mekah. Maka, Rasulullah saw. mengambil keputusan untuk berdakwah di Taif kerana Taif paling berdekatan dengan Mekah. Jaraknya hanya 80km. Taif terletak di  bahagian tenggara Mekah. Kabilah Tsaqif menghuni Taif sejak beberapa lama.

Baginda mengharapkan agar Bani Tsaqif dapat menerima seruan dakwah dan membantu Baginda kerana kedudukan Bani Tsaqif yang paling hampir dengan kota Mekah. Selain daripada itu, Baginda juga mempunyai hubungan keluarga sebelah ibu dengan mereka. Ini adalah kerana ibu kepada Hasyim bin Abdu Manaf iaitu ’Atikah berasal daripada keturunan Bani Salim yang juga keluarga kepada Bani Tsaqif.

Pada bulan Syawal tahun kesepuluh selepas kerasulan, Rasulullah Saw berjalan ke Taif ditemani oleh Saidina Zaid bin Harithah. Mereka berjalan menempuh panas terik matahari. Hawa panas padang pasir tidak sedikit pun menggoyahkan semangat mereka. Keimanan adalah sebaik-baik bekalan hati dan jiwa mereka pada saat itu. 

Seawal mereka tiba di Taif, mereka telah bertemu dengan tiga orang pemimpin Taif di gerbang masuk ke Kota Taif. Mereka ialah anak-anak A’mru Bin U’mair iaitu Abdul Yalil, Masud dan Habib. Pada awalnya mereka menyambut baik kedatangan Rasulullah Saw atas dasar Baginda adalah salah seorang pemuka Mekah dari Bani Abdul Mutalib. Rasulullah Saw terus menyampaikan Al Quran dan Islam kepada mereka bertiga. Sebaik sahaja Rasulullah Saw selesai bercakap, salah seorang dari mereka telah bangun dan berkata: "Demi Allah, aku tidak akan beriman kepada kamu sehingga terkoyak kelambu Ka’bah". Seterusnya saudaranya yang kedua pula bangun dan berkata: "Apakah Allah tidak ada pilihan lain dari kamu untuk dilantik menjadi Rasul". Sementara saudara yang ketiga pula berkata: "Demi Allah, aku tidak akan bercakap lagi dengan kamu. Kalau kamu adalah seorang Nabi, amat merbahaya bagiku sekiranya aku tidak beriman tetapi sekiranya kamu menipu terhadap Allah sepatutnya aku tidak bercakap dengan kamu".

Demikianlah sambutan awal dari penduduk Taif. Para pemimpinnya dengan terus-terang menolak dakwah Rasulullah Saw bahkan mereka telah menghina Baginda. Namun Rasulullah Saw tetap sabar. Baginda tidak berputus asa sebaliknya baginda berkata kepada mereka: "Tidak mengapa kalau kamu semua tidak mahu mempercayai aku, tetapi biarkanlah aku menyampaikannya kepada orang lain". Dengan penuh sombong mereka berkata: "Kami tidak akan membenarkan kamu berdakwah kepada kami dan juga kepada orang lain".

Mereka terus meninggalkan Rasulullah Saw dan masuk kedalam kota Taif. Rupa-rupanya mereka terus mengumpulkan seluruh budak-budak nakal yang ada didalam kota lalu dibariskan mereka kepada dua barisan. Seterusnya mereka mengarahkan budak-budak nakal ini membaling Rasulullah Saw dengan batu bila Baginda memasuki kota Taif. Benar, sebaik saja Rasulullah Saw memasuki Kota Taif dan belum pun sempat bercakap dengan siapa, baginda telah dihujani dengan lontaran batu sehingga berdarah kaki baginda. Saidina Zaidlah yang melindungi Rasulullah Saw dengan jasadnya. Sebab itu dia lukanya lebih teruk dari Rasulullah Saw.
         
Kemudian,  Rasulullah SAW dan Zaid berhenti rehat di bawah sebatang pokok anggur yang rendang. Pokok itu terletak bersebelahan kebun kepunyaan ‘Utbah dan Syaibah, kedua-duanya ialah anak Rabi’ah yang merupakan seorang yang memusuhi baginda. Pada ketika itu, kedua-dua mereka ada di kebun itu. Melihatkan mereka berdua, Rasulullah berdoa;
اَلْلَّهُمَّ إِلَيْكَ أَشْكُوْ ضِعْفَ قُوَّتِيْ
وَقِلَّةَ حِيْلَتِيْ، وَهَوَانِيْ عَلَى النَّاسِ...
أَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِيْنَ...
أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِيْنَ...وَأَنْتَ رَبِّيْ..
إِلَى مَنْ تَكِلَنِيْ؟؟
إِلَى بَعِيْدِ يَتَجَهَّمُنِيْ...؟ أَمْ إِلَى عَدُوٍّ مَلَكْتَهُ أَمْرِيْ..؟
إِنْ لَمْ يِكُنْ بِكَ غَضَبٌ عَلَيَّ فَلَا أُبَالِيْ..
غَيْرَ أَنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعَ لِيْ..
أَعُوْذُ بِنُوْرِ وَجْهِكَ الَّذِيْ أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتِ
وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ أَنَّ اِنْ يَحِلَّ عَلَيَّ غَضَبُكَ
أَوْ إِنْ يَنْزِلُ بِيْ سَخَطُكَ..
لَكَ حَتَّى تَرْضَىْ...
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِكَ..
 Maksudnya: 
“Tuhanku kepada Dikau ku mengadu hal keletihan tenagaku, 
kekurangan helahku, kehinaanku di hadapan manusia, 
wahai Maha Penyayang Lagi Kasihan belas. 
Dikaulah Tuhan golongan lemah dan dhaif. Dikaulah Tuhanku, 
kepada siapa lagi yang hendak ku menyerah? 
Apakah kepada orang yang jauh membenci daku ? 
atau kepada seteru yang telah Kau beri kuasa mengatasi daku? 
Kiranya tiada kemarahan Kau ke atasku, tidaklah kupeduli, 
namun afiat dariMu lebih luas bagiku, ku berlindung dengan cahayaMu. 
Dikaulah yang menerangi kegelapan, 
dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik, 
aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurkaanMu, 
atau terturun kemarahanMu, bagi kau jua tempat kembalinya 
hingga tercapai keredhaanMu, 
tiada daya dan upaya kecuali denganMu Ya Tuhan.”

Mendengar rintihan Rasulullah itu, Allah telah menghantar malaikat Jibril dan malaikat penjaga bukit-bukau dan gunung-ganang. Kata Jibril: "Wahai Rasulullah, Allah telah mengutuskan kami kepadamu. Kalau kamu mahu, perintahkan malaikat ini untuk mentelangkupkan Mekah diantara dua bukit dan mereka akan musnah". Jawab Rasulullah Saw: "Wahai Jibril, jangan lakukannya. Biarlah aku bersabar terhadap kaumku. Semoga Allah akan melahirkan dari zuriat mereka orang-orang yang beriman kepada Allah". Rasulullah saw mendoakan kaum Taif, “Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” Lalu Jibril berkata, “Telah benarlah mereka yang menamakan kamu sebagai berhati lembut dan penuh kasih sayang

Apabila ‘Utbah dan Syaibah melihatkan Rasulullah, mereka berasa kasihan. Lalu mereka menghantar seorang hamba Nasrani bernama ‘Addas membawa sebekas  anggur kepada Rasulullah saw. “Pergilah engkau membawa anggur anggur ini kepada mereka berdua di sana itu.” Perintah ‘Utbah kepada hamba Nasrani itu yang bernama ‘Addas.

Baginda saw amat gembira kerana ada juga penduduk Taif yang mengasihani mereka. Baginda saw. mengucapkan terima kasih kepada ‘Addas. Ketika Baginda mahu memakan anggur itu, Baginda mengucapkan “Bismaillahir Rahmaanir Rahim” lalu Baginda menyuapkan anggur itu ke mulut Baginda.

Apabila ‘Addas mendengarkan ucapan baginda itu, ‘Addas berasa hairan lalu berkata: “Kalimah yang kau ucapkan itu tidak dituturkan oleh penduduk negeri ini”. Lalu Rasullullah bertanya kepadanya: “Kamu datang dari negeri mana dan apa agama anutan kamu?”

Lalu ‘Addas menjawab: “Aku penganut agama Nasrani dan aku berasal dari negeri Ninawa (sebuah negeri di Iraq).” Baginda bertanya lagi: “Kau dari negeri seorang soleh bernama Yunus bin Mataa”. Lalu ‘Addas bertanya: “Apa yang kau tahu tentang Yunus bin Mataa?”

Rasulullah menjawab: “Dia itu saudaraku. Dia ialah seorang nabi dan aku juga seorang nabi!”. Lalu Rasulullah membaca ayat al-Quran surah Yunus yang menceritakan perihal Nabi Yunus. Mendengarkan itu, ‘Addas berasa begitu takjub lalu mengucup kepala, tangan dan kaki Rasulullah. Lalu ‘Addas memeluk Islam di situ juga. Kemudian Addas kembali mendapatkan tuannya Utbah dan Syaibah lalu Addas dimarahi kerana memuliakan Rasulullah saw.

Mereka berkata, “Celaka kau wahai Addas, kenapa kau mengucup kepala, tangan dan kaki lelaki itu?” Lalu ‘Addas menjawab, “Wahai tuanku, tiada apa di dunia ini yang terlebih baik daripada apa yang aku lakukan tadi kerana sesungguhnya lelaki itu telah mengkhabarkan kepadaku perkara yang tidak diketahui manusia biasa kecuali oleh seorang Nabi!”

Demikianlah kesusahan yang ditanggung Rasulullah saw. dalam melaksanakan perintah Allah swt. Baginda saw. sangat ingin menyelamatkan umatnya. Hebatnya jiwa seorang Nabi!!

Kredit : Muhammad Yusuf Siregar