Sunday, 16 March 2014
SUQAIFAT BANI SAIDAH (MADINAH)
Sejurus selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Golongan Muhajirin berkumpul di masjid Nabawi manakala golongan Ansar berkumpul di Saqifah (dewan) Bani Sa’idah. Berkumpulnya golongan Ansar adalah untuk membincangkan permasalahan pemimpin yang bakal menerajui kepimpinan umat Islam. Apabila golongan Muhajirin mendengar golongan Ansar ingin membai’ah Sa’ad bin Ubadah radhiallahu ’anh sebagai khalifah maka mereka pergi ke dewan Bani Sa’idah untuk melihat apa yang berlaku. Apabila sampai di sana maka bangunlah salah seorang dari golongan Ansar menyampaikan ucapannya:
“Amma ba’du, kami adalah golongan Ansar, para penolong Allah dan pasukan Islam. Kamu sekalian wahai golongan Muhajirin adalah sebahagian dari kami.” Abu Bakar bangun lalu berucap: “Adapun yang engkau sebutkan tentang kebaikan-kebaikan yang ada pada kamu sekaliannya sememangnya adalah benar dan kamu sekalianlah orangnya. Namun orang-orang Arab hanya mengenal kabilah ini iaitu Quraisyh. Secara nasab merekalah paling mulia diantara bangsa-bangsa Arab. Dengan itu kamilah yang menjadi ketua sedangkan kamu adalah menteri-menteri.”
Al-Hubab bin Munzir berkata: “Demi Allah tidak, daripada kami seorang pemimpin dan daripada kamu seorang pemimpin.” Abu Bakar menjawab: “Tidak, akan tetapi daripada kami seorang pemimpin manakala daripada kalian menteri-menteri.”
Maka mulailah orang-orang mengangkat suara dan timbullah kekecohan. Bagi mengelakkan terjadinya perselisihan yang berpanjangan maka Abu Bakar berkata: Sesungguhnya aku redha jika urusan pemerintahan ini diserahkan kepada salah seorang dari dua lelaki ini, terserahlah kamu untuk memilih yang mana satu…” Lalu Abu Bakar menarik tangan Umar serta Abu Ubaidah bin al-Jarrah.
Umar berkata: “Bahkan kami membai’ah engkau (Abu Bakar). Engkau adalah pemimpin kami, sebaik-baik orang di kalangan kami serta yang paling kasih pada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di kalangan kami.” Lalu Umar berkata kepada Abu Bakar: “Berikan tanganmu wahai Abu Bakar…” maka dia memberikan tangannya dan Umar segera membai’ahnya diikuti oleh golongan Muhajirin dan Ansar. [Ringkasan beberapa hadis. Rujuk Sahih al-Bukhari – no: 3670. dan no: 6830]
Tamatlah bai’ah yang pertama di dewan bani Sa’idah kemudian diikuti dengan bai’ah kali kedua yang dilakukan oleh semua sahabat di Masjid Nabawi.
Banyak pengajaran boleh diambil daripada kisah diatas. Kisah tersebut bukanlah bukti kelamahan institusi Sahabat seperti yang biasa dijadikan hujah golongan-golongan sesat yang membenci para Sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya ianya bukti keutuhan persaudaraan yang diikat dengan aqidah yang benar. Sikap yang wajar kita contohi. Ini kerana kalau kita lihat, sekalipun mempunyai perbezaan pandangan dan pendapat namun akhirnya masing-masing akur pada satu pendapat yang membawa kepada perlantikan Abu Bakr radhiallahu’anhu.
Adalah menjadi lumrah apabila berkumpulnya manusia untuk berbincang akan sesuatu hal, tidak mustahil untuk berlaku perselisihan pandangan dan kepelbagaian pendapat. Bertegas berhujjah untuk menegakkan pandangan masing-masing juga bukanlah sesuatu yang abnormal. Cumanya yang perlu dilihat adalah hasil perbincangan itu dan akhlak masing-masing selepas itu.
Sekalipun berlakunya peristiwa yang dinukilkan diatas, kita dapat lihat persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar tidak sama sekali tercalar malah mereka masih utuh bersatu. Tidak wujud isu bermasam muka, membalas dendam, tidak menghormati satu sama lain, menuduh pihak bercanggahan pendapat sesat dan sebagainya. Sikap para Sahabat inilah yang seharusnya menjadi contoh tauladan umat ini. Begitulah sikap anak-anak murid kepada guru terbaik yakni Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kalau perselisihan pandangan dalam isu sebesar perlantikan khalifah pun tidak menjejaskan persaudaraan mereka, betapa sepatutnya kita berasa malu seandainya kita bermusuh, mengejek-ejek, mengumpat dan merendah-rendahkan pihak lain yang berbeza pandangan dengan kita,hanya kerana perselisihan dengan perkara lebih kecil daripada itu malah dibenarkan untuk berbeza pandangan.
Maka sesungguhnya Allah meredhai mereka, golongan Ansar dan Muhajirin, dan sememangnya mereka layak mendapat redha-Nya. Kalau kita mendambakan redha Allah sepatutnya kita mencontohi mereka baik aqidah, ibadah hinggalah kepada persaudaraan yang terikat kemas.
وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ
وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ
عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ
خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [at-Taubah 9:100]
Wallahua’lam
Sumber : alFaisal
demipena.blogspot.com
Labels:
Maklumat Umrah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment